Malam ini merupakan malam yang sangat menyedihkan buat diriku…
Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Tuan Haji Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin Al-Muqri telah pulang ke rahmatullah di Institut Jantung Negara kira-kira jam 9 malam tadi.
Mungkin tidak ramai yang mengenali beliau, aku sendiri mengenali beliau hanya kerana jatuh cinta dengan alunan ayat suci al-Quran beliau dalam solat-solat Tarawih sejak aku di bangku sekolah lagi. Ketika itu kami sering beriktikaf dalam 10 malam terakhir Ramadhan di Masjid Negeri anjuran pihak sekolah. Beliau hanyalah seorang imam muda ketika itu, namun kerana keindahan bacaannya beliau dipilih mengimami tarawih setiap kali Almarhum Sultan Selangor ketika itu turun bersolat tarawih di Masjid negeri.
Beliau tetap setia menjadi imam di Masjid Negeri selama belasan tahun sehinggalah dinaikkan pangkat menjadi Imam Besar.
Alangkah ironinya, taqdir Allah mendahului segala, beliau dijemput kembali ke rahmatullah tatkala bulan Ramadhan bakal menjenguk kurang tiga minggu lagi. Sudah pasti jemaah Masjid akan merindui alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada lidah beliau…. Video terakhir kelas talaqqi beliau pada 29 Mei 2014 yang ditemui di YouTube channel Masjid menunjukkan beliau selesai surah Muhammad (juz 26)
Antara kenangan paling tidak dilupakan, antara lain:
1. Apabila Almarhum Sultan Selangor ketika itu solat tarawih di Masjid Negeri, beliau akan menyingkatkan bacaan kira-kira dua ke tiga ayat, malah satu ayat sahaja jika ayatnya cukup panjang… Namun dengan bacaan yang sungguh indah, sehinggakan ketika kami baru mula menghayati bacaannya selepas selesai al-Fatihah kami, beliau pun ruku’…
2. Bacaan doa qunut beliau pasti akan menangis, ia bukan doa yang boleh didapati dalam mana-mana kitab, tapi beliau membaca doa yang sama setiap kali, sehingga aku menghafalnya. Pernah satu kali aku berpeluang jadi imam di Darul Quran dan aku bacakan doa qunut beliau, ada rakan yang cukup takjub dengan bait-bait doa sehingga bertanya kepada aku di mana aku mempelajarinya. Malangnya kini selepas belasan tahun aku sudah mula melupai doa tersebut
antaranya: Allahumma ahlikil yahuuda wan nasaaraa wa man waalahum wa man aawanahum..
Ya Allah, hancurkanlah kaum yahudi dan nasrani dan sesiapa yang berwala’ kepada mereka serta membantu mereka….
Inilah dia sosok tubuh yang telah mewaqafkan umurnya sebagai khadam al-Quran, menjaga al-Quran (hafiz), mengalunkannya (tilawah) dan mengajarkannya (ta’lim).
Pastilah al-Quran bakal menjadi temannya yang setia di alam barzakh kelak….
Daripada Abu Umamah r.a berkata :
Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”.
(Hadith Riwayat Muslim)
al-Fatihah….
p/s:- Ini merupakan antara rakaman yang terindah berkenaan bacaan beliau dalam solat tarawih (kualiti lebih baik drpd video masjid negeri sendiri)
Originally posted at http://nazril.com/al-quran/imam-besar-masjid-shah-alam-ustaz-mustafa-mohd-sidin-meninggal-dunia/?utm_source=BG&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com
No comments:
Post a Comment