Monday, June 22, 2015

Tadabbur Ramadhan #5 - surah al-Maidah (hidangan)

1. Satu-satunya surah yang dimulakan dengan seruan “Wahai orang-orang beriman..”

2. Objektif surah ini sangat jelas dari ayat pertama lagi, menggesa umat Islam memenuhi ikatan janji (kontrak). Hakikatnya menyeru orang beriman memenuhi ‘kontrak syahadah’ mereka, akujanji terbesar dalam hidup manusia – mematuhi Allah dan Rasul. Pelbagai peraturan dan syarat tertulis dalam surah ini untuk dipenuhi


3. Seruan “wahai orang-orang beriman” paling banyak disebut dalam surah ini lebih banyak daripada surah-surah lain termasuk surah al-Baqarah. Disebut sebanyak 16 kali, 2/11 daripada seluruh al-Quran (88 kali)


4. Surah yang menggariskan halal dan haram. Mengandungi ayat ketiga yang menngisytiharkan kesempurnaan Islam sebagai cara hidup, diturunkan pada khutbah terakhir baginda s.a.w. semasa Haji Wida’


5. Terdapat penekanan besar tentang halal dan haram makan minum, penyembelihan, dan berkaitan dengan tajuknya al-Maidah yang bermaksud hidangan (walaupun sebenarnya berkenaan hidangan makanan buat Nabi Isa a.s)


6. Corak yang sama dengan surah-surah sebelumnya tentang isu ahli kitab dan penyelewengan mereka


7. Juga penekanan tentang hak perundangan dan hukum hakam Allah s.w.t. Bermula sejak ayat pertama dan juga ayat tiga serangkai tentang tidak berhukum dengan peraturan yang telah Allah gariskan



Originally posted at http://nazril.com/al-quran/tadabbur-ramadhan-5-surah-al-maidah-hidangan/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Sunday, June 21, 2015

Tadabbur Ramadhan #4 - Surah an-Nisa' (Wanita)

1. Surah an-Nisa’ menyeru ke arah keadilan dan kasihan belas, terutama bagi kaum yang lemah dan mudah tertindas

2. Selepas surah al-Baqarah – konsep ketuanan manusia sebagai khalifah


Ali Imran – peringatan agar tidak sesat selepas beroleh hidayah


Kemudiannya surah an-Nisa’ mengajar bahawa manusia sebagai khalifah mestilah memiliki sifat keadilan dan belas kasihan dalam hubungan terhadap kaum yang lemah dan mudah ditindas.


Oleh itu keadilan adalah ciri pertama seorang pemimpin


3. Hak kaum yang lemah dalam surah an-Nisa': anak yatim, hamba, pembantu, keturunan, minoriti bukan Islam, orang yang bermusafir, ibu bapa, dan yang paling penting adalah kaum wanita.


4. Mengapa wanita? Sekiranya seseorang boleh berlaku adil dan belas kasihan di rumah, dia akan memiliki rasa kasihan belas dan adil terhadap kaum yang lemah dalam masyarakat. Inilah dia surah yang melindungi hak-hak kaum yang lemah itu. Seolah-olah Allah mengisyaratkan: “sebelum Aku mewariskan bumi dan isinya untuk mau, buktikan kamu adalah seorang pemimpin yang berkemampuan dalam rumahtanggamu”.


5. Ramai yang mendakwa Islam menindas kaum wanita. Ini adalah dakwaan yang tidak dapat mengabui mata para pembaca al-Quran, terutama yang membaca surah an-Nisa’.


6. Menariknya, surah an-Nisa’ didahului oleh surah Ali Imran yang menampilkan kisah Maryam dan ibunya (isteri Imran) sebagai model dua wanita yang beriman dan istiqamah dalam iman mereka.



Originally posted at http://nazril.com/al-quran/tadabbur-ramadhan-4-surah-an-nisa-wanita/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Saturday, June 20, 2015

Tadabbur Ramadhan #3 - Surah Ali Imran

1. Sebut surah Ali Imran, ingat dua perkara: orang Kristian dan juga Perang Uhud

2. Intipati utama sifat istiqamah. Istiqamah dari segi aqidah dan istiqamah dalam beramal


3. Istiqamah aqidah – jgn jd mcm kristian. Beriman dgn Tuhan dan Isa a.s. tapi akhirnya anggap Isa anak Tuhan


4. Istiqamah amal – buat bersungguh sehingga tugas selesai. Peristiwa pemanah yang meninggalkan bukit Uhud jangan diulang


5. Ali Imran bermaksud keluarga Imran, datuk Nabi Isa a.s. Dihiasi dua wanita hebat: isteri dan anaknya Maryam. Penghormatan kepada wanita, surah seterusnya an-Nisa’ bermaksud wanita


6. Terdapat banyak doa mohon teguh pendirian dan istiqamah dalam surah ini


7. Surah ini berkaitan dgn perkataan terakhir dalam surah al-Fatihah – orang-orang yang sesat. Kaum nasrani yang percaya Isa anak telah tersesat dalam aqidah


8. Ketiga-tiga surah al-Fatihah, al-Baqarah dan Ali Imran diakhiri dengan doa. Kesemua doa ini menggunakan ganti diri ‘kami’, bermaksud doa untuk umat bukan sekadar beriman sendiri-sendiri



Originally posted at http://nazril.com/al-quran/tadabbur-ramadhan-3-surah-ali-imran/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Friday, June 19, 2015

World Champlonship of Public Speaking 2014 Winner - I Can See Something in You


Originally posted at http://nazril.com/inspirasi/world-champlonship-public-speaking-winner-i-see-something-in-you/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Pengalaman Mengundi di United Kingdom

Pengalaman Mengundi di United KingdomSerentak dengan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, jutaan rakyat United Kingdom keluar mengundi Pilihanraya Umum Britain hari ini. Selaku rakyat negara Komanwel, rakyat Malaysia yang tinggal di United Kingdom layak mengundi. Apa yang perlu ada ialahNational Insurance Number (NIno). NIno ni diperlukan jika anda mahu bekerja di United kingdom (dan visa anda jelas menunjukkan anda layak bekerja di United Kingdom).


Jika anda memiliki NIno, anda dikehendaki untuk mendaftar dengan Electoral Commission sekurang-kurangnya kira-kira 3 minggu sebelum pilihanraya. Tahun ini tarikh tutup pendaftaran adalah 20 April. Sistem pendaftaran tahun 2015 juga telah berubah di mana orang lain tidak lagi boleh daftarkan untuk anda. Kena daftar sendiri.


Di UK tiada sistem kad pengenalan. Oleh itu pengundi mengundi mengikut alamat rumah.. Tiada istilah ‘balik mengundi’ sebab wakil rakyat anda menentukan kehidupan anda bukan kehidupan orang kampung anda.


Alamat rumah calon juga tertera di kertas undi. Jadi tiada istilah ‘orang luar’ bertanding di kerusi kawasan anda.


Perbelanjaan kempen juga turut diaudit. Oleh itu kempen-kempen kebanyakannya hanya berbentuk leaflet. Tiada poster-poster dan bendera-bendera merata-rata. Mungkin juga tak boleh sebab majlis tak benarkan sebab nanti bersepah tiada orang nak bersihkan.


Istilah pengundi hantu juga tidak ada di UK kerana semua alamat rumah adalah disahkan oleh majlis kerajaan tempatan.


Apabila datang ke tempat mengundi, tiada pondok panas dan sebagainya. Tak perlu beratur panjang2 dan lama-lama. Boleh masuk terus dalam dewan mengundi.


Ada 3 pekerja. Sorg jaga pendaftaran, sorang jaga kertas undi, sorang jaga peti undi.


Oleh kerana tiada sistem IC di uk, pengundi hanya beritahu nama dan alamat rumah. Selain itu adalah kejujuran rakyat sendiri tak datang ke tempat pengundi ambil kertas undi orang lain. Tiada dakwat calit pada jari tidak kira samada dakwat kekal ataupun tidak.


Kat luar juga tiada suasana bergaduh2 samada perang mulut mahupun perang tangan dan kaki apatah lagi perang baling kerusi.


Kesimpulannya, sistem pengundian di Malaysia menjadi sangat kompleks rentetan sejarah yg panjang.



Originally posted at http://nazril.com/politik/pengalaman-mengundi-di-united-kingdom/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Ucapan Presiden Morsi Apabila Dijatuhkan Hukuman Mati di Mahkamah

Cuba ambil peluang mendengar dan meneliti ucapan Dr Mursi di mahkamah. Ucapan yang menyebabkan dada menjadi sebak, bulu roma meremang dan sepatutnya para hakim gerun dan insaf jika di hati mereka masih ada secebis iman.


Ketika diberi peluang bercakap di dalam mahkamah, Presiden Mursi sedikitpun tidak merayu agar diringankan hukuman yg dijatuhkan. Bahkan beliau memberi satu ucapan kegembiraan dengan janji Allah terhadap pejuang2 Islam.

Antara lain, beliau memetik ayat 171 hingga 175 surah Ali Imran:


(يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ
الَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِلَّهِ وَالرَّسُولِ مِنْ بَعْدِ مَا أَصَابَهُمُ الْقَرْحُ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظيم الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ)


Yang bermaksud:

171 – Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

172 – Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.


173 – Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.


174 – Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.


175 – Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.


Seterusnya beliau berucap:


هذا نداء الله لنا جميعا ألا نخشى إلا الله وألا نعود أبدا إلى الوراء وأن نعتصم به سبحانه وأن نقول ونردد دائما:
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
هذا يكفينا. الله كافينا. الله سبحانه وتعالى يحب إذا نظر إلى عباده أن يراهم له داعين وبسنته متمسكين وبدينه وبحبله المتين معتصمين.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ
جئنا برسالة سلام إلى هذا العالم لا نريد حربا ولا عدوانا. وإنما نريد للناس خيرا.


Maksudnya:

“Inilah seruan Allah kepada kita semua, supaya kita tidak takut melainka kepada Allah shj. Supaya kita tidak berpaling ke belakang. Dan supaya kita sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah serta berkata dan kita ulang2kan firman Allah: [Cukuplah ALLAH buat kami, Dialah sebaik2 wakil].

“Ini sudah cukup untuk kita. Allahlah yg mencukupkan (pertolonganNya) untuk kita. Allah sangat suka apabila melihat kepada hambaNya, mereka ketika itu sedang menyeru kepada agama Allah, beramal dengan sunnah (nabi)Nya, berpegang teguh dengan agama dan taliNya. Firman Allah: [Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah semuanya dan janganlah memisahkan diri (dari tali Allah)…]


“Kami datang dengan membawa misi damai ke dunia ini. Kami tidak mahu peperangan dan permusuhan. Sesungguhnya kami hanya mahukan kebaikan untuk sekalian manusia….”



Originally posted at http://nazril.com/akhbar-alam-islami/ucapan-presiden-morsi-apabila-dijatuhkan-hukuman-mati-di-mahkamah/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Thursday, June 18, 2015

Tadabbur Ramadhan #2 - surah al-Baqarah (Lembu)

1. Kenapa Lembu???

ia adalah simbol kegagalan Bani Israel. Arahan yang mudah untuk menyembelih seekor lembu menjadi kekecohan yang dikenang sepanjang zaman. Setiap kali kita menyebut surah al-Baqarah, kita harus ingat kekecohan itu sebagai panduan.


2. Surah terpanjang ini turun selepas Hijrah, tatkala iman para sahabat sudah mendalam, tiba masanya untuk diuji iman secara kolektif pula. Ujian sebagai satu umat. Asas pembinaan tamadun. Maka disebut tentang umat-umat terdahulu.


3. Awal surah disebut 3 golongan, ini golongan yang akan wujud sehingga kiamat. Pilihlah untuk jadi salah satu daripada 3 golongan – mukmin, kafir, atau munafiq. Ia juga satu amaran buat Nabi s.a.w. bahawa selepas hijrah akan muncul satu golongan munafiq yang tidak pernah wujud sebelum hijrah.


4. Surah ini mengajar manusia siapa mereka, dan mengapa mereka dicipta. Sejarah peradaban manusia dirakam dalam kisah Adam a.s, dan diteruskan dengan kisah para Nabi dan juga nama-nama mereka. Allah memberitahu kita tamadun bersilih ganti, setiap tamadun akan diuji sebagai satu umat, bukan sekadar iman individu.


5. Adam telah gagal kerana ditipu oleh Syaitan. Ini untuk ajar manusia bahawa syaitan itu sangat hebat, sedangkan Adam yang tinggal di syurga pun boleh dihelah. Apatah lagi kita manusia yang tidak pernah melihat syurga neraka. Namun Allah memberi peluang yang adil bagi setiap umat bagi membuktikan keimanan mereka.


6. Kisah Bani Israel diceritakan dengan panjang lebar, ini satu umat paling gagal dalam sejarah manusia. Mereka dikurniakan dengan para Nabi yang ramai, terutama Nabi Musa a.s, namun mereka tetap engkar. Malah, kini mereka menjadi musuh Islam.


7. Al-Baqarah juga mengisahkan kejayaan Ibrahim dalam mematuhi perintah Allah (kisah sembelih Ismail a.s. dan juga bina Kaabah). Baginda dimuliakan dengan nama yang harum beserta keturunan yang mulia. Inilah standard tinggi yang Allah jadikan objektif bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya.


8. Setiap kali baca surah al-Fatihah ayat ‘ghayril maghdubi alayhim’ – orang-orang yang dimurkai Allah – kita harus ingat kita sedang berdoa ya-Allah jgn jadikan kami seperti Bani Israel. Jadikanlah kami hambaMu yang patuh.



Originally posted at http://nazril.com/al-quran/tadabbur-ramadhan-2-surah-al-baqarah-lembu/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Wednesday, June 17, 2015

Tadabbur Ramadhan #1 - surah al-Fatihah

1. Apabila kita membaca doa ayat ke-6 ‘ihdinas siratal mustaqim’ kita memohon hidayah dan huda (petunjuk) daripada Allah, Allah jawab semula pada awal surah al-Baqarah ayat 2 dan ayat 5:


“Al-Quran itu keseluruhannya adalah hidayah/huda bagi org bertaqwa”


“Mereka yg di atas jalan huda/hidayah (kerana mengamalkan ayat 3 dan 4)”.


Ini bermakna bagi mendapat hidayah hendaklah rajin membaca al-Quran dan solat dan infaq dan beriman kpd isi kandungan wahyu.


2. Apabila kita membaca doa ayat terakhir al-Fatihah – bukan jalan orang yang dimurkai bukan pula jalan orang sesat – 


Org yg dimurkai merujuk kepada sifat2 dalam surah al-Baqarah manakala sifat orang2 yang sesat diceritakan dalam surah Ali Imran. Seluruh 4 juzuk pertama sebenarnya menghuraikan ayat terakhir ini sebagai panduan agar kita terselamat drpd kemurkaan dan kesesatan.


Oleh itu hendaklah berusaha membaca terjemahan al-Baqarah dan Ali Imran pula selepas ini.


3. Ayat pertama Al-Fatihah dimulakan dengan ‘rabb sekelian alam’


Ayat terakhir an-Naas yg juga ayat terakhir dlm al-Quran diakhiri dengan kalimah ‘jin dan manusia’


4. Surah al-Fatihah merupakan antara surah yang paling mudah dibaca dari segi hukum tajwid.



Originally posted at http://nazril.com/al-quran/tadabbur-ramadhan-1-surah-al-fatihah/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Tuesday, May 19, 2015

Parti Buruh Menguasai Liga Perdana Inggeris, Namun Parti Konservatif Menjuarainya

Liga Perdana Inggeris merupakan liga bolasepak yang mempunyai ramai peminat di Malaysia. Keputusan Pilihanraya Umum Britain 2015 yang berlangsung pada awal bulan ini menyaksikan satu fakta menarik berkenaan liga tersebut – kesemua pasukan Liga Perdana Inggeris berasal dari kawasan parlimen yang dikuasai oleh Parti Buruh kecuali satu, iaitu kawasan sang juara; Chelsea FC.


Warna jersi kelab tersebut juga adalah biru, sama dengan warna rasmi Parti Konservatif yang turut dikenali sebagai Tory.


Fakta ini – samada kebetulan ataupun mengandungi maksud tersirat di sebaliknya – turut mencerminkan realiti sistem ‘First Past the Post’, di mana Parti Konservatif hanya mendapat 36.9% daripada jumlah undi keseluruhan, namun menguasai lebih separuh daripada jumlah kerusi Parlimen British. Parti Buruh tidak jauh ketinggalan daripada jumlah undi keseluruhan dengan 30.4%, namun realiti kemenangan terlihat agak jauh kerana hanya menguasai kira-kira sepertiga kerusi yang ada.


Jadual Pilihanraya 2015 Liga Perdana Inggeris


Parti Konservatif yang diwakili oleh Greg Hands berjaya mempertahankan kerusinya di kerusi parlimen Chelsea and Fulham di Barat London buat penggal kedua. Ini adalah penggal ketiga beliau sebagai ahli parlimen jika dikira kerusi beliau sebelum persempadanan semula. Sejak beliau menjadi ahli parlimen pada 2005, pasukan Chelsea telah menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 4 kali termasuk musim ini.


Kejayaan ini pastinya menjengkelkan peminat-peminat pasukan berwarna merah yang ternama seperti Liverpool, Arsenal dan Manchester United. Warna merah adalah warna Parti Buruh, dan kerusi-kerusi ini merupakan kubu kuat parti tersebut.


Di Barat Laut England, Parti Buruh mendominasi kelab-kelab gergasi berjiran seperti Liverpool dan Everton serta kedua-dua kelab Manchester. Steve Rotheram mempertahankan kerusi Liverpool Walton dengan peningkatan majoriti kepada 27,777 undi, meraih 72.3% daripada jumlah undi keseluruhan! Parti Konservatif sangat dibenci oleh penduduk Liverpool, terutama semasa pemerintahan Margaret Thatcher. Tories hanya meraih 4.7% daripada jumlah undi, merosot sebanyak 1.8% daripada pilihanraya terdahulu. Begitu kebalnya kerusi ini sehingga akhbar Liverpool Echo melabelkannya sebagai ‘kerusi yang boleh dimenangi oleh Buruh walaupun dengan meletakkan calon keldai


Dua kelab berjiran di Manchester pula diwakili oleh dua ahli parlimen wanita. Manchester United diwakili oleh Kate Green yang mempertahankan kerusi Stretford & Urmston dengan majoriti bertambah sebanyak 2,750 kepada 11,685. Kawasan parlimen ini mengandungi taman industri pertama di dunia – Trafford Park – yang menyediakan peluang pekerjaan kepada puluhan ribu rakyat Manchester. Kelab Manchester City pula terletak di bawah kawasan parlimen Manchester Central. Lucy Powell memenangi kerusi ini dengan undi majoriti sebanyak 18,639. Kerusi ini sentiasa dimenangi oleh Parti Buruh sejak diwujudkan pada 1974.


Di Utara London, kerusi Islington North yang mengandungi kelab Arsenal telah dipertahankan selama 32 tahun oleh Jeremy Corbyn dengan peratusan undi sebanyak 54.5%. Ini jauh meninggalkan parti Tory dengan jumlah sebanyak hampir 20,000 undi. Tidak jauh dari situ, kerusi Tottenham pula dipertahankan oleh calon Parti Buruh, David Lammy dengan peratusan sebanyak 67%. Jumlah majoriti undi adalah sebanyak 23,564, meningkat sebnayak lebih kurang 7,000 undi.


Di Timur London, secara ironinya kelab West Ham terletak di kawasan parlimen yang bernama East Ham. Salah satu kerusi Buruh paling selamat, Stephen Timms meningkatkan peratusan undinya daripada 70.4% kepada 77.6%. Walaubagaimanapun pada 2016 nanti West Ham akan berpindah ke Stadium Olimpik London. Kawasan yang menempatkan Elizabeth Olympic Park ini bersesuaian dengan nama pasukan tersebut, iaitu kerusi parlimen West Ham. Namun kawasan ini tetap dipertahankan oleh Buruh dengan peratusan undi sebanyak 68.4%. Lyn Brown telah menang dengan majoriti 27,986, antara yang tertinggi di United Kingdom tahun ini.


Di barat London, kerusi Hammersmith yang diasingkan daripada Fulham kini mengandungi kelab yang dimilik oleh Tony Fernandes, Queens Park Rangers yang menduduki tangga tercorot dan bakal jatuh ke divisyen Liga Kejuaraan musim depan. Berjersi biru, parti biru Konservatif pernah memiliki kerusi ini sebelum ahli parlimennya Greg Hands memilih untuk kerusi Chelsea dan Fulham. Nampaknya pilihan beliau adalah tepat.


Buruh juga mempertahankan 9 kerusinya di Birmingham yang mengandungi populasi muslim terbesar di United Kingdom. Shabana Mahmood telah meningkatkan majoriti lebih sekali ganda di Birmingham Ladywood yang mengandungi kelab Aston Villa dan Birmingham City. Namun Birmingham City kini berada di satu tangga divisyen liga di bawah. Shabana Mahmood telah memperoleh undi yang banyak ini akibat perpindahan undi daripada Parti Liberal Demokrat.


Kejatuhan Parti Liberal Demokrat ini turut diterjemahkan dalam bola sepak. Tiada satu pun pasukan dari empat divisyen teratas liga Inggeris diwakili oleh parti tersebut. Kekalahan Liberal Demokrat di kawasan Burnley pula turut mengiringi kejatuhan kelab tersebut ke divisyen kedua iaitu Liga Kejuaraan musim hadapan.


Kajian berkenaan kaitan antara politik dan bolasepak England telah dijalankan oleh Profesor Philip Cowley, pakar Kerajaan Berparlimen di University Nottingham. Menurut beliau, sukan bola sepak di England adalah dikuasai oleh golongan pekerja, dan ini diterjemahkan oleh kelab-kelab besar yang terletak di kawasan parti Buruh.


Dari segi sejarah sukan tersebut, pada kurun ke-19 kelab-kelab di Utara England dan Selatan England terpecah dari segi ideologi, di mana kelab-kelab di Utara telah memulakan karier pemain professional dalam bola sepak. Ini kerana mereka tidak dapat bekerja sepenuh masa akibat menceburi sukan ini. Kelab-kelab di Selatan pula lebih gemar kepada liga amatur. Tidak hairanlah jika Selatan England kini dikuasai oleh Parti Konservatif, kerana dari sudut sejarah kelab-kelab bola sepak mereka juga berpendirian begitu.


Jika diperhatikan corak keputusan pilihanraya di kawasan-kawasan parlimen yang mengandungi kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, seolah-olah Tories meminggirkan mereka atau langsung tidak menumpukan perhatian bagi memenanginya. Mungkin kerana jurang yang terlalu besar menyebabkan Konservatif memfokuskan kerusi-kerusi rakan sekutu Liberal Demokrat, sementara membiarkan Parti Nasional Scotland mengambil alih kerusi-kerusi Buruh. Mungkin juga kerana sejarah pemerintahan Konservatif yang lalu menyebabkan keretakan hubungan antara kawasan-kawasan parlimen tersebut tidak dapat dibaiki lagi.


Jika diperhatikan peta kerusi-kerusi Parlimen British, kelihatan parti Buruh menguasai kawasan-kawasan yang mengandungi lombong arang batu. Sudah pastinya ini turut berkaitan dengan tindakan Margaret Thatcher yang menutup 20 lombong arang batu pada 1984 yang menyebabkan berlakunya demonstrasi oleh para pekerja arang batu yang berlanjutan selama setahun. Dendam para pekerja ini terhadap pimpinan konservatif sememangnya tidak dapat dibendung lagi.


England Coalfield and general Election Result


Jika ditinjau semula kawasan-kawasan parlimen yang menempatkan pasukan-pasukan Liga perdana Inggeris ini, jelas kelihatan beberapa pola yang sama:


  1. Golongan pekerja terutama buruh kasar dan kolar biru

  2. Masyarakat berbilang kaum dan imigran

  3. Masalah pengangguran

  4. Kemiskinan

  5. Kawasan kilang dan industri

  6. Kawasan perumahan rakyat

  7. Kawasan peratusan muslim yang agak signifikan

Penulis kini menetap di Liverpool, dan akan cuba merungkai isu sosio-politik ini dari perspektif bandar Merseyside ini.


Bandar Liverpool pernah dinobatkan sebagai ibu negara kedua Empayar British pada pertengahan kurun ke-19, dan merupakan pusat kegemilangan pelabuhan Britain dan juga kemakmuran serta kemajuan teknologi. Walaubagaimanapun kemakmuran ini tidak kekal lama dan kemerosotan ekonomi dunia pada 1930-an serta Perang Dunia Ke-2 menyebabkan Liverpool dibedil dengan dahsyat dalam peristiwa The Blitz. Kejatuhan teruk ini menyebabkan parti Buruh mula mendapat tempat di kalangan rakyat kerana polisi-polisi kerajaan Konservatif dikatakan menjadi punca rakyat merana.


Pada 1980-an, keadaan menjadi amat teruk dan kadar pengangguran meningkat sehingga melebihi 20%. Rusuhan Toxteth 1981 menjadi kemuncak keganasan akibat kemiskinan dan kadar jenayah yang tinggi. Masalah ketagihan dadah melarat sehingga ke hari ini. Munculnya para penyangak ataupun samseng yang digelar ‘scallies’. Satu-satunya cara mereka dapat melupakan kesesakan hidup ini adalah dengan kehebatan dua gergasi bola sepak Merseyside, Liverpool dan Everton yang mendominasi sukan tersebut pada 1960-an sehingga 1980-an.


Pada 1989 tragedi Hillsborough yang menyaksikan 96 orang penyokong bola sepak dari Liverpool maut akibat kecuaian Polis South Yorkshire dalam menangani jumlah penyokong yang terlalu ramai semasa perlawanan separuh akhir Piala FA. Pasukan keselamatan juga langsung tidak memberikan bantuan dan membiarkan mangsa tanpa sebarang bantuan. Meninggalkan kesan trauma yang amat mendalam, kesedihan ini menjadi dendam apabila kerajaan Konservatif Margaret Thatcher bukan sahaja enggan mengakui kesalahan malah menyalahkan para penyokong sendiri sebagai punca masalah ini. Walaupun terguris, kedua-dua pasukan Merseyside ini akhirnya berentap sesama sendiri pada perlawanan akhir pada bulan berikutnya, membuktikan dominasi wilayah tersebut dalam sukan bola sepak pada zaman itu.


Ini menambahkan lagi barah sediada di mana Tories sentiasa memberikan layanan buruk kepada kerajaan tempatan Liverpool yang dikuasai seteru politik mereka, Parti Buruh. Kesan akibat siri-siri rusuhan begitu mendalam, namun kerajaan Thatcher berpendirian bahawa kerajaan Buruh Liverpool sepatutnya ‘menyelesaikan sendiri masalah mereka’. Antara polisi yang dicadangkan ialah membiarkan bandar tersebut merudum secara berperingkat dan menggalakkan penduduk Liverpool agar berpindah keluar tinggal di bandar lain. Ini termasuk pelbagai lagi polisi-polisi yang membebankan golongan dan kesatuan-kesatuan sekerja yang sehingga hari ini dikenali sebagai ‘Thatcherisme’.


Apa yang berlaku di Liverpool juga turut berlaku di kawasan-kawasan Buruh lain. Tekanan-tekanan hidup menyebabkan mereka menjadi cemerlang di atas padang. Walaupun kemakmuran mula muncul akibat kejayaan-kejayaan pasukan ini terutama dari segi pelancongan, rata-rata tekanan ekonomi masih lagi menjadi masalah utama. Kekayaan kelab-kelab bola sepak ini gagal mengimbangi jurang kemiskinan rakyat. Kadar jenayah tinggi yang dipelopori oleh belia-belia tempatan kini mula menjadi masalah para imigran. Ini menyebabkan suara-suara anti imigran yang dipelopori oleh UKIP mula kedengaran.


Bagaimana pula dengan kejohanan musim hadapan? Konservatif yang mula mahir dalam seni menjuarai liga, turut menguasai dua tangga teratas dalam Liga Kejuaraan menerusi kelab Bournemouth dan Watford, menempah dua slot automatik ke Liga Perdana. Sekali lagi parti Buruh dibiarkan bercakaran sesama sendiri, kelab Norwich dan Middlesbrough akan bersaing untuk merebut satu lagi slot terakhir menerusi perlawanan kalah mati di Wembley minggu hadapan.


Penulis merupakan pekerja separuh masa di Liverpool Football Club dan aktivis Pertubuhan IKRAM United Kingdom dan Eire.


ChelseaChelsea and Fulham
Manchester City – Manchester Central
Arsenal – Islington North
Machester UnitedStretford & Urmston
Liverpool – Liverpool Walton
Tottenham HotspurTottenham
SouthamptonSouthampton Test
SwanseaSwansea East
StokeStoke-on-Trent South
Everton – Liverpool Walton
West HamEast Ham (akan berpindah ke West Ham)
Crystal PalaceCroydon North
West Brom – Warley
LeicesterLeicester South
Aston Villa – Birmingham Ladywood
SunderlandSunderland Central
Newcastle UnitedNewcastle-upon-Tyne
Hull City – Hull West and Hessle
BurnleyBurnley
QPRHammersmith


BournemouthBournemouth East
WatfordWatford
Norwich City – Norwich South
MiddlesbroughMiddlesbrough



Originally posted at http://nazril.com/politik/parti-buruh-menguasai-liga-perdana-inggeris-parti-konservatif-menjuarainya/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Thursday, March 5, 2015

Hikmah hari ini - sabar dan nikah

حكمة اليوم

ليست القوة قوة الجسم
وإنما القوة الذي يملك نفسه عند الغضب...

الرجل الحقيقي هو

إذا تكلم أسمع
وإذا مشى أسرع
وإذا ضرب أوجع
وإذا تزوج أربع

:D

Syair Hikmah hari ini..

Bukanlah kekuatan itu pada kekuatan tubuh badan,
Kekuatan itu adalah apabila seseorang itu marah dia menahan kesabaran..

Seorang lelaki sejati itu adalah

Apabila bercakap dia akan memperdengarkan
Apabila dia berjalan dia akan mempercepatkan
Apabila dia memukul dia akan menyakitkan
Dan apabila dia kahwin, dia akan meng-empat-kan..

:D



Originally posted at http://nazril.com/baytul-muslim/hikmah-hari-ini-sabar-dan-nikah/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Wednesday, February 25, 2015

Tuan Guru Haji Zakaria Meninggal Dunia Sehari Selepas Pemergian Tuan Guru Nik Aziz

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ…


Tuan Guru Haji Zakaria, Tok Ayoh kepada isteri saya, iaitu ayah kepada ayah mertua saya, telah pun meninggal dunia awal pagi tadi kerana sakit tua. Berita sedih ini menyusul kira-kira sehari selepas pemergian Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Telah ditaqdirkan Allah, dua orang tokoh ini dijemput mengadapNya pada masa yang lebih kurang sama. Mereka berdua telah dipaparkan di poster ulamak besar alam Melayu yang banyak dipaparkan di masjid-masjid sekitar Kelantan.


Tuan Guru Hj Zakaria Melor


Meninggal saat usia mencecah 90 tahun, Tok Ayoh sudah lama uzur, sejak saya menikah dgn isteri saya dia sudah tidak mampu lagi keluar dari rumah. Ingatannya juga sudah semakin susut, sehingga tidak kenal lagi cucu-cucunya, malah baru-baru ini dia juga keliru untuk mengecam anak-anaknya. Namun di sebalik keuzurannya itu dia tetap menunaikan solat dan berzikir saban hari, dan semasa masih agak kuat dia masih lagi menelaah kitab-kitab. Mungkin kerana cintanya terhadap solat, al-Quran dan Zikrullah, amalan ini tetap bersamanya walaupun ketika dia sudah sangat uzur dan berusia.


Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan serta merta mencabutnya dari hati manusia. Akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ‘ulama.. [Al-Bukhari (100, 7307); Muslim (2673)] Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas dua orang Tuan Guru ini.


أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُمَا وَارْحَمْهُمَا وَعَافِهمَا وَاعْفُ عَنْهُمَا وَأَكْرِمْ نُزُلَهمَا وَوَسِعْ مَدْخَلَهُمَا وَاغْسِلْهُمَا بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهمَا مِنَ الْخَطَايَا كما نقيت الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُمَا دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِه ، وَأَدْخِلْهمَا الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهمَا مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار…اللهم آمين


Instagram filter used: Normal


View in Instagram ⇒


TG Hj Zakaria dan TG Hj Nik Aziz



Originally posted at http://nazril.com/dakwah/tuan-guru-haji-zakaria-meninggal-dunia-sehari-selepas-pemergian-tuan-guru-nik-aziz/?utm_source=BG&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com

Friday, February 13, 2015

Pengebumian Almarhum Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Bekas Menteri Besar Kelantan

Birdeye view pengebumian Nik Aziz Kredit: Mc Joe – gambar drpd WhatsApp


Seorang ulamak yang hebat, bukan sahaja memberi peringatan tatkala hidup.. Kematiannya juga turut menjadi tazkirah dan menimbulkan kesedaran buat seluruh rakyat..


Aku berada jauh di bumi United Kingdom, namun aku dapat merasakan kehangatan hiba dan kesayuan rakyat menerima berita pemergian Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat..


keranda Nik Aziz diusung


Pertama-tamanya, adalah jumlah kehadiran para pembesar dan rakyat bagi menziarahi almarhum.. Ramai yg hadir, beribu-ribu.. Dilaporkan mencecah 50,000 orang. Sepertimana yang lazimnya berlaku tatkala kematian para ulamak dan aktivis dakwah yang terkenal dan dikagumi…


50,000 hadiri pengebumian Nik Aziz


Rakyat biasa yang terdiri daripada para penyokong umno pun tak ketinggalan utk hadir ke majlis pengebumian Almarhum Tuan Guru.. Bersusah payah musafir dari Kuala Lumpur.. Kita bercakap soal bagaimana politik kepartian tidak dapat menjadi penghalang kepada sanjungan atas beliau.. Yang hadir bukan sahaja ahli PAS ataupun anak-anak muridnya..


PM Datuk Seri najib di majlis pengebumian Nik Aziz


Bukan anak melayu sahaja, malah dari bangsa lain turut hadir… (Tidak semestinya bangsa lain tersebut bukan Islam, kerana tidak dapat dipastikan agama anutan mereka)


Bangsa lain yang turut hadir pengebumian nik aziz


Siaran langsung oleh RTM, Astro Awani.. Malah hos RTM turut sebak dan menitiskan air mata, tidak pernah lagi berlaku kita melihat pengacara televisyen menangis tatkala majlis pengebumian para sultan ataupun pembesar negara…


Pengacara RTM1 semasa pengebumian Nik Aziz Kredit: Faiz Hadi


 


Siaran langsung itu sendiripun adalah satu pengiktirafan tertinggi yg biasanya hanya disediakan untuk peristiwa kematian para sultan dan bekas Perdana Menteri..


Radio HotFM pun hentikan rancangan hiburan sepanjang hari…


Solat jenazah ghaib turut dilakukan dari seluruh negara, termasuk surat rasmi dr MAIS arahkan masjid-masjid seluruh Selangor buat solat jenazah ghaib..


Surat MAIS solat jenazah ghaib Nik Aziz


Ada khatib yang terhenti semasa khutbah menahan kesedihan dan mengalirkan air mata tatkala menyebut perihal TGNA.. Lebih-lebih lagi tatkala doa selepas solat jenazah ghaib.. Para makmum turut sama-sama dalam kesedihan dan ada yang teresak-esak menahan tangis..


إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ…


أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِه وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَه وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّه مِنَ الْخَطَايَا كما نقيت الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِه ، وَأَدْخِلْه الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْه مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار…اللهم آمين


InsyaAllah syurga baginya.. Kerana kelihatan tanda-tanda kebaikan pada kematiannya..



Originally posted at http://nazril.com/inspirasi/pengebumian-almarhum-tuan-guru-haji-nik-abdul-aziz-nik-mat/?utm_source=BG&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com