Liga Perdana Inggeris merupakan liga bolasepak yang mempunyai ramai peminat di Malaysia. Keputusan Pilihanraya Umum Britain 2015 yang berlangsung pada awal bulan ini menyaksikan satu fakta menarik berkenaan liga tersebut – kesemua pasukan Liga Perdana Inggeris berasal dari kawasan parlimen yang dikuasai oleh Parti Buruh kecuali satu, iaitu kawasan sang juara; Chelsea FC.
Warna jersi kelab tersebut juga adalah biru, sama dengan warna rasmi Parti Konservatif yang turut dikenali sebagai Tory.
Fakta ini – samada kebetulan ataupun mengandungi maksud tersirat di sebaliknya – turut mencerminkan realiti sistem ‘First Past the Post’, di mana Parti Konservatif hanya mendapat 36.9% daripada jumlah undi keseluruhan, namun menguasai lebih separuh daripada jumlah kerusi Parlimen British. Parti Buruh tidak jauh ketinggalan daripada jumlah undi keseluruhan dengan 30.4%, namun realiti kemenangan terlihat agak jauh kerana hanya menguasai kira-kira sepertiga kerusi yang ada.
Parti Konservatif yang diwakili oleh Greg Hands berjaya mempertahankan kerusinya di kerusi parlimen Chelsea and Fulham di Barat London buat penggal kedua. Ini adalah penggal ketiga beliau sebagai ahli parlimen jika dikira kerusi beliau sebelum persempadanan semula. Sejak beliau menjadi ahli parlimen pada 2005, pasukan Chelsea telah menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 4 kali termasuk musim ini.
Kejayaan ini pastinya menjengkelkan peminat-peminat pasukan berwarna merah yang ternama seperti Liverpool, Arsenal dan Manchester United. Warna merah adalah warna Parti Buruh, dan kerusi-kerusi ini merupakan kubu kuat parti tersebut.
Di Barat Laut England, Parti Buruh mendominasi kelab-kelab gergasi berjiran seperti Liverpool dan Everton serta kedua-dua kelab Manchester. Steve Rotheram mempertahankan kerusi Liverpool Walton dengan peningkatan majoriti kepada 27,777 undi, meraih 72.3% daripada jumlah undi keseluruhan! Parti Konservatif sangat dibenci oleh penduduk Liverpool, terutama semasa pemerintahan Margaret Thatcher. Tories hanya meraih 4.7% daripada jumlah undi, merosot sebanyak 1.8% daripada pilihanraya terdahulu. Begitu kebalnya kerusi ini sehingga akhbar Liverpool Echo melabelkannya sebagai ‘kerusi yang boleh dimenangi oleh Buruh walaupun dengan meletakkan calon keldai‘
Dua kelab berjiran di Manchester pula diwakili oleh dua ahli parlimen wanita. Manchester United diwakili oleh Kate Green yang mempertahankan kerusi Stretford & Urmston dengan majoriti bertambah sebanyak 2,750 kepada 11,685. Kawasan parlimen ini mengandungi taman industri pertama di dunia – Trafford Park – yang menyediakan peluang pekerjaan kepada puluhan ribu rakyat Manchester. Kelab Manchester City pula terletak di bawah kawasan parlimen Manchester Central. Lucy Powell memenangi kerusi ini dengan undi majoriti sebanyak 18,639. Kerusi ini sentiasa dimenangi oleh Parti Buruh sejak diwujudkan pada 1974.
Di Utara London, kerusi Islington North yang mengandungi kelab Arsenal telah dipertahankan selama 32 tahun oleh Jeremy Corbyn dengan peratusan undi sebanyak 54.5%. Ini jauh meninggalkan parti Tory dengan jumlah sebanyak hampir 20,000 undi. Tidak jauh dari situ, kerusi Tottenham pula dipertahankan oleh calon Parti Buruh, David Lammy dengan peratusan sebanyak 67%. Jumlah majoriti undi adalah sebanyak 23,564, meningkat sebnayak lebih kurang 7,000 undi.
Di Timur London, secara ironinya kelab West Ham terletak di kawasan parlimen yang bernama East Ham. Salah satu kerusi Buruh paling selamat, Stephen Timms meningkatkan peratusan undinya daripada 70.4% kepada 77.6%. Walaubagaimanapun pada 2016 nanti West Ham akan berpindah ke Stadium Olimpik London. Kawasan yang menempatkan Elizabeth Olympic Park ini bersesuaian dengan nama pasukan tersebut, iaitu kerusi parlimen West Ham. Namun kawasan ini tetap dipertahankan oleh Buruh dengan peratusan undi sebanyak 68.4%. Lyn Brown telah menang dengan majoriti 27,986, antara yang tertinggi di United Kingdom tahun ini.
Di barat London, kerusi Hammersmith yang diasingkan daripada Fulham kini mengandungi kelab yang dimilik oleh Tony Fernandes, Queens Park Rangers yang menduduki tangga tercorot dan bakal jatuh ke divisyen Liga Kejuaraan musim depan. Berjersi biru, parti biru Konservatif pernah memiliki kerusi ini sebelum ahli parlimennya Greg Hands memilih untuk kerusi Chelsea dan Fulham. Nampaknya pilihan beliau adalah tepat.
Buruh juga mempertahankan 9 kerusinya di Birmingham yang mengandungi populasi muslim terbesar di United Kingdom. Shabana Mahmood telah meningkatkan majoriti lebih sekali ganda di Birmingham Ladywood yang mengandungi kelab Aston Villa dan Birmingham City. Namun Birmingham City kini berada di satu tangga divisyen liga di bawah. Shabana Mahmood telah memperoleh undi yang banyak ini akibat perpindahan undi daripada Parti Liberal Demokrat.
Kejatuhan Parti Liberal Demokrat ini turut diterjemahkan dalam bola sepak. Tiada satu pun pasukan dari empat divisyen teratas liga Inggeris diwakili oleh parti tersebut. Kekalahan Liberal Demokrat di kawasan Burnley pula turut mengiringi kejatuhan kelab tersebut ke divisyen kedua iaitu Liga Kejuaraan musim hadapan.
Kajian berkenaan kaitan antara politik dan bolasepak England telah dijalankan oleh Profesor Philip Cowley, pakar Kerajaan Berparlimen di University Nottingham. Menurut beliau, sukan bola sepak di England adalah dikuasai oleh golongan pekerja, dan ini diterjemahkan oleh kelab-kelab besar yang terletak di kawasan parti Buruh.
Dari segi sejarah sukan tersebut, pada kurun ke-19 kelab-kelab di Utara England dan Selatan England terpecah dari segi ideologi, di mana kelab-kelab di Utara telah memulakan karier pemain professional dalam bola sepak. Ini kerana mereka tidak dapat bekerja sepenuh masa akibat menceburi sukan ini. Kelab-kelab di Selatan pula lebih gemar kepada liga amatur. Tidak hairanlah jika Selatan England kini dikuasai oleh Parti Konservatif, kerana dari sudut sejarah kelab-kelab bola sepak mereka juga berpendirian begitu.
Jika diperhatikan corak keputusan pilihanraya di kawasan-kawasan parlimen yang mengandungi kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, seolah-olah Tories meminggirkan mereka atau langsung tidak menumpukan perhatian bagi memenanginya. Mungkin kerana jurang yang terlalu besar menyebabkan Konservatif memfokuskan kerusi-kerusi rakan sekutu Liberal Demokrat, sementara membiarkan Parti Nasional Scotland mengambil alih kerusi-kerusi Buruh. Mungkin juga kerana sejarah pemerintahan Konservatif yang lalu menyebabkan keretakan hubungan antara kawasan-kawasan parlimen tersebut tidak dapat dibaiki lagi.
Jika diperhatikan peta kerusi-kerusi Parlimen British, kelihatan parti Buruh menguasai kawasan-kawasan yang mengandungi lombong arang batu. Sudah pastinya ini turut berkaitan dengan tindakan Margaret Thatcher yang menutup 20 lombong arang batu pada 1984 yang menyebabkan berlakunya demonstrasi oleh para pekerja arang batu yang berlanjutan selama setahun. Dendam para pekerja ini terhadap pimpinan konservatif sememangnya tidak dapat dibendung lagi.
Jika ditinjau semula kawasan-kawasan parlimen yang menempatkan pasukan-pasukan Liga perdana Inggeris ini, jelas kelihatan beberapa pola yang sama:
- Golongan pekerja terutama buruh kasar dan kolar biru
- Masyarakat berbilang kaum dan imigran
- Masalah pengangguran
- Kemiskinan
- Kawasan kilang dan industri
- Kawasan perumahan rakyat
- Kawasan peratusan muslim yang agak signifikan
Penulis kini menetap di Liverpool, dan akan cuba merungkai isu sosio-politik ini dari perspektif bandar Merseyside ini.
Bandar Liverpool pernah dinobatkan sebagai ibu negara kedua Empayar British pada pertengahan kurun ke-19, dan merupakan pusat kegemilangan pelabuhan Britain dan juga kemakmuran serta kemajuan teknologi. Walaubagaimanapun kemakmuran ini tidak kekal lama dan kemerosotan ekonomi dunia pada 1930-an serta Perang Dunia Ke-2 menyebabkan Liverpool dibedil dengan dahsyat dalam peristiwa The Blitz. Kejatuhan teruk ini menyebabkan parti Buruh mula mendapat tempat di kalangan rakyat kerana polisi-polisi kerajaan Konservatif dikatakan menjadi punca rakyat merana.
Pada 1980-an, keadaan menjadi amat teruk dan kadar pengangguran meningkat sehingga melebihi 20%. Rusuhan Toxteth 1981 menjadi kemuncak keganasan akibat kemiskinan dan kadar jenayah yang tinggi. Masalah ketagihan dadah melarat sehingga ke hari ini. Munculnya para penyangak ataupun samseng yang digelar ‘scallies’. Satu-satunya cara mereka dapat melupakan kesesakan hidup ini adalah dengan kehebatan dua gergasi bola sepak Merseyside, Liverpool dan Everton yang mendominasi sukan tersebut pada 1960-an sehingga 1980-an.
Pada 1989 tragedi Hillsborough yang menyaksikan 96 orang penyokong bola sepak dari Liverpool maut akibat kecuaian Polis South Yorkshire dalam menangani jumlah penyokong yang terlalu ramai semasa perlawanan separuh akhir Piala FA. Pasukan keselamatan juga langsung tidak memberikan bantuan dan membiarkan mangsa tanpa sebarang bantuan. Meninggalkan kesan trauma yang amat mendalam, kesedihan ini menjadi dendam apabila kerajaan Konservatif Margaret Thatcher bukan sahaja enggan mengakui kesalahan malah menyalahkan para penyokong sendiri sebagai punca masalah ini. Walaupun terguris, kedua-dua pasukan Merseyside ini akhirnya berentap sesama sendiri pada perlawanan akhir pada bulan berikutnya, membuktikan dominasi wilayah tersebut dalam sukan bola sepak pada zaman itu.
Ini menambahkan lagi barah sediada di mana Tories sentiasa memberikan layanan buruk kepada kerajaan tempatan Liverpool yang dikuasai seteru politik mereka, Parti Buruh. Kesan akibat siri-siri rusuhan begitu mendalam, namun kerajaan Thatcher berpendirian bahawa kerajaan Buruh Liverpool sepatutnya ‘menyelesaikan sendiri masalah mereka’. Antara polisi yang dicadangkan ialah membiarkan bandar tersebut merudum secara berperingkat dan menggalakkan penduduk Liverpool agar berpindah keluar tinggal di bandar lain. Ini termasuk pelbagai lagi polisi-polisi yang membebankan golongan dan kesatuan-kesatuan sekerja yang sehingga hari ini dikenali sebagai ‘Thatcherisme’.
Apa yang berlaku di Liverpool juga turut berlaku di kawasan-kawasan Buruh lain. Tekanan-tekanan hidup menyebabkan mereka menjadi cemerlang di atas padang. Walaupun kemakmuran mula muncul akibat kejayaan-kejayaan pasukan ini terutama dari segi pelancongan, rata-rata tekanan ekonomi masih lagi menjadi masalah utama. Kekayaan kelab-kelab bola sepak ini gagal mengimbangi jurang kemiskinan rakyat. Kadar jenayah tinggi yang dipelopori oleh belia-belia tempatan kini mula menjadi masalah para imigran. Ini menyebabkan suara-suara anti imigran yang dipelopori oleh UKIP mula kedengaran.
Bagaimana pula dengan kejohanan musim hadapan? Konservatif yang mula mahir dalam seni menjuarai liga, turut menguasai dua tangga teratas dalam Liga Kejuaraan menerusi kelab Bournemouth dan Watford, menempah dua slot automatik ke Liga Perdana. Sekali lagi parti Buruh dibiarkan bercakaran sesama sendiri, kelab Norwich dan Middlesbrough akan bersaing untuk merebut satu lagi slot terakhir menerusi perlawanan kalah mati di Wembley minggu hadapan.
Penulis merupakan pekerja separuh masa di Liverpool Football Club dan aktivis Pertubuhan IKRAM United Kingdom dan Eire.
Chelsea – Chelsea and Fulham
Manchester City – Manchester Central
Arsenal – Islington North
Machester United –Stretford & Urmston
Liverpool – Liverpool Walton
Tottenham Hotspur – Tottenham
Southampton – Southampton Test
Swansea – Swansea East
Stoke – Stoke-on-Trent South
Everton – Liverpool Walton
West Ham – East Ham (akan berpindah ke West Ham)
Crystal Palace – Croydon North
West Brom – Warley
Leicester – Leicester South
Aston Villa – Birmingham Ladywood
Sunderland – Sunderland Central
Newcastle United – Newcastle-upon-Tyne
Hull City – Hull West and Hessle
Burnley – Burnley
QPR – Hammersmith
Bournemouth – Bournemouth East
Watford – Watford
Norwich City – Norwich South
Middlesbrough – Middlesbrough
Originally posted at http://nazril.com/politik/parti-buruh-menguasai-liga-perdana-inggeris-parti-konservatif-menjuarainya/?utm_source=Blogger&utm_medium=nazril17.blogspot.com&utm_campaign=Nazril.com
No comments:
Post a Comment